Cart 0
9789671427606.jpg

SEMUSIM DI BARZAKH

RM 29.90

SEMUSIM DI BARZAKH




Semusim di Barzakh membawa kita mengenali seorang lelaki bernama Fayyadh. Fayyadh adalah anak muda yang dibesarkan di kota metropolitan namun melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Pantai Timur. Kehidupan di kota yang serba mewah dan moden menjadikan Fayyadh lalai dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim. 


Ketika di universiti, Fayyadh jatuh cinta pada Humaira, seorang gadis yang berperwatakkan alim, bijak dan baik budi pekerti. Fayyadh pandai berpura-pura untuk menutup kejahatan diri. Di universiti, Fayyadh dilihat seperti lelaki yang baik. Dan demi menghormati imej Humaira, Fayyadh menghalang dirinya dari berterus terang meluahkan isi hati. 


Ketika jamuan akhir tahun sebelum graduasi, Humaira diserang histeria di sebuah resort peranginan. Fayyadh ada dan berusaha untuk membantu gadis malang itu. 


Kini, selepas beberapa tahun tamat pengajian, Fayyadh, lelaki berumur 25 tahun, telah menjadi seorang penulis yang terkenal. Nama yang sering disebut-sebut, ditambah dengan rupa paras yang tampan dan berharta, Fayyadh semakin jauh dari pegangan agama. Maksiat melingkari hidupnya. Perempuan menjadi mainannya. Zina menjadi santapan dan arak menjadi minumannya.

Reunion diadakan di resort peranginan yang sama. Fayyadh teruja berjumpa rakan sekuliah. Malah lebih teruja untuk berjumpa dengan Humaira. Malang sekali Fayaddh terkedu tatkala diberitahu yang Humaira sudah meninggal dunia. Mati, kerana membunuh diri.

Fayaddh seperti tidak dapat menerima kenyataan cara kematian Humaira. Gadis alim, bertudung labuh, tidak pernah meninggalkan solat, namun nekad untuk membunuh diri? Dimana silapnya?

Fayaddh bingung dan akhirnya meninggalkan majlis reunion yang sedang berlangsung. Fayyadh pulang ke hotel penginapan untuk berehat. Namun, ketika di bilik, Fayyadh diganggu lembaga yang menyeramkan, tidak ketahuan asal usulnya. Fayyadh berusaha untuk lari melepaskan diri. Dalam usaha untuk lari, Fayyadh terjatuh tangga dan mengakibatkan dirinya cedera.

Dengan bersusah payah, Fayyadh masuk ke dalam kereta dan memecut terus ke Kuala Terengganu. Didalam perjalanan, Fayyadh ditimpa kemalangan jalan raya dan tidak sedarkan diri.

Tatkala tersedar, Fayyadh ternampak yang keretanya sedang diangkut keluar dari sungai, oleh sebuah jentera berat. Setelah itu, satu mayat dikeluarkan dari kereta itu. Fayyadh terkaku apabila melihat yang mayat itu adalah dirinya sendiri.

Fayyadh sudah meninggal dunia??
Hakikat yang sukar untuk diterima.
Melihat dirinya di bilik mayat hospital, kemudian di bawa pulang ke rumah untuk di uruskan, melihat keluarga dan rakan-rakan bersedih ketika jenazahnya terbujur kaku di tengah rumah, perjalanan ke tanah perkuburan, mendengar talkin dibacakan dan seterusnya mendengar derapan tapak kaki meningalkan pusaranya, benar-benar menakutkan Fayyadh.

Kini, Fayyadh hanya mampu berserah untuk mengadap apa sahaja yang bakal mendatang.

Tiba-tiba,
Seperti disedut masuk ke lubang masa, Fayyadh berada di sebuah gurun yang gersang. Seorang diri. Gurun yang sejauh mata memandang. Tiada petunjuk. Tidak tahu kemana harus dituju. Dan tanpa diketahui, bermula lah pengembaraan Fayyadh, di suatu tempat yang asing, yang hanya Allah sahaja yang tahu rahsia di sebaliknya.

Di pengembaraan ini, Fayyadh bertemu dengan seorang lelaki tua. Lelaki tua yang sangat baik dan berjanji untuk membantu Fayyadh seberapa daya yang boleh. Malangnya, lelaki itu terlalu tua dan lemah. Akhirnya, lelaki tua tersebut tewas kepada serangan ular gergasi.

Dalam masa yang sama, Fayyadh dikejar oleh seorang wanita yang tidak berwajah dan seorang bayi yang kudung. Wanita dan bayi ini tidak putus asa memburu Fayaddh.

Fayaddh berlari dan terus berlari. Sehingga terjumpa dengan sekumpulan wanita yang diseksa. Seksa yang tidak terperi namun Fayyadh hanya mampu melihat sahaja.

Selepas itu, Fayaddh terjumpa dengan seorang lelaki muda, berperwatakan baik dan menarik. Lelaki itu menghulurkan jubah yang dipakainya kepada Fayyadh. Namun, tatkala Fayyadh menyarung jubah tersebut, Fayaddh berasa panas yang tidak terperi. Lantas jubah tersebut ditanggalkan.

Lelaki itu mengatakan mungkin hati Fayyadh belum cukup suci untuk melayakkannya menyarung jubah tersebut. Jubah lambang kehormatan dan kehebatan.

Perjalanan bersama lelaki itu sampai ke kemuncak apabila mereka bertemu dengan 2 buah jambatan.
Sebuah jambatan kelihatannya gelap gelita, tidak tahu kemana hala tujunya.
Dan jambatan yang lagi satu pula nampaknya indah belaka, cuma syarat untuk menitinya adalah Fayyadh perlu mengorbankan keimanan yang ada dalam dirinya.

Masih ada lagi kah iman didalam hati dan jiwa Fayyadh setelah terlalu lama hidup bergelumang dengan maksiat?

Lelaki itu menjanjikan penamat atas segala kesengsaraan yang Fayyadh sedang alami. Adakah janjinya benar?
Atau mungkin hanya ingin memperdayakan Fayyadh sahaja?
Siapa sebenarnya lelaki itu?

Masih jauh lagi kah perjalanan Fayyadh?

Adakah sudah tertutup pintu taubat buatnya?

Atau mungkin memang ditakdirkan Fayyadh akan berada di daerah asing itu, dikejar, diseksa, sengsara sehingga ke hari pembalasan?